31 March 2014 – Isnin
Abd Kadir Bin Saleh (Ayah)
Berita Harian, Singapura
Disiarkan Di Ruangan Gah
LOMBOK PULAU 1000 MASJID
Jika Bali terkenal dengan gelaran pulau 1000 kuil, Lombok pula terkenal dengan jolokan pulau 1000 masjid. Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang Lombok ke Pantai Senggigi, Lombok Barat masjid-masjid megah berdiri di sepanjang jalan sama ada yang baru ataupun yang lama. Di setiap desa pasti memiliki masjidnya tersendiri.
Jika di Bali terkenal dengan pantai Kuta, di Lombok terkenal dengan 3 Gili (pulau kecil) iaitu Gili Trawangan, Gili Meno dan Gili Air. Untuk ke Gili Trawangan tambang bot penumpang hanya Rp20,000 (SGD $2.00) dari Pelabuhan Bangsal dalam masa 30 minit. 3 Gili ini menawarkan aktiviti air, seperti snorkel, menyelam skuba, meluncur air, memancing atau bersantai di sepanjang pantai mengelilingi setiap pulau. Keluasannya seperti Pulau Sentosa di Singapura. Kita boleh mengelilingi pulau dengan berjalan kaki, berbasikal ataupun menaiki kereta kuda. Pakej snorkel 3 Gili beramai-ramai cuma Rp 100,000 (SGD $10.00) meliputi bot, gogel dan jaket keselamatan. Mula-mula melihat karang laut di GiliTrawangan, kemudian berenang bersama penyu di Gili Meno dan terakhir memberi makanikan roti di Gili Air. Rasakan gigitan ikan di jari.
Satu yang menarik mengenai 3 Gili ini hampir 90 peratus pemilik hotel, resort, restoran, kedai dimiliki oleh warga Amerika dan Eropah kerana pelancongnya juga 90% warga Amerika dan Eropah. Suasana di 3 Gili seakan di kepulauan Mediterranean atau di Caribbean. Parti, bikini dan minum keras menjadi teras kehidupan. Di Gili Trawangan, laungan azan setiap waktu dua buah masjid seiringan dengan alunan muzik dari café dan bar.
Semasa di Lombok kami juga sempat meredah hutan di pergunungan Rinjani untuk ke air terjun yang terletak satu jam perjalanan melalui lereng gunung yang selebar tapak kaki yang curam dan menggerunkan. Air Terjun Sindang Gile di Senaru yang bertingkat itu benar-benar menggamit kenangan yang sukar dilupakan.
Selain Pantai Senggigi di Lombok Barat, kami ke Jeeva Beloam Beach Camp di Tanjung Ringgit, Lombok Timur yang menawarkan percutian yang eksklusif. Jeeva Beloam Beach Camp terletak 2 jam perjalanan dari lapangan terbang.
Pantainya yang bertelok dan di kelilingi tebing tinggi yang curam benar-benar memukau seakan berada di pantai Australia.
Rumah penginapan yang dimiliki oleh warga Amerika berbentuk tradisional suku Sasak Lombok yang alang-alang bumbungnya tinggi. Dibuka pada 2012, ia berkonsepkan bersemadi dengan alam. Tiada TV. Tiada Radio. Tiada Wifi.
Di puncak tebing yang menghadap ke Australia masih berdiri megah kubu dan meriam Jepun peninggalan perang dunia kedua. Meriam yang beratnya bertan-tan itu dibawa kepuncak tebing curam setinggi Bukit Timah tanpa peralatan moden.
Jika 70 tahun lalu warga emas Lombok berperang mempertahankan bumi tercinta dari kuasa Jepun kini warga muda Lombok berperang mempertahankan budaya Sasak daripada dicemari pengaruh budaya Barat. Tanjung Ringgit juga terkenal dengan pasir pantai kemerahan. Pasir putihnya bercampur dengan butiran halus merah, sebab itu dikenali dengan Pink Beach dan menjadi tumpuan penggemar aktiviti air untuk berenang, berkayak ataupun bersnorkel.
Lombok menawarkan destinasi pilihan yang lebih murah tetapi tetap autentik yang setanding dengan Bali.